Showing posts with label siputeh. Show all posts
Showing posts with label siputeh. Show all posts

Tuesday, September 1, 2009

Tiada p'raya kecil di Kota Siputeh

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan bahawa Datuk Abu Hassan Sarif masih kekal sebagai ADUN Kota Siputeh, Kedah.

Oleh itu, menurut SPR, pilihanraya kecil tidak perlu diadakan di DUN tersebut.

Sebelum ini Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail telah menghantar surat kepada SPR berhubung kedudukan Abu Hassan dari Umno, yang didakwa hilang keanggotaannya.

Surat Dr Abdul Isa itu memaklumkan bahawa Abu Hassan hilang keanggotaan setelah dua kali gagal menghadiri sidang DUN pada 19 April dan 9 Ogos lalu.

Abu Hassan, ketua Umno bahagian Jerlun menyandang kerusi DUN Kota Siputeh selama empat penggal berturut-turut.

Seksyen 51 Perlembagaan Negeri memperuntukkan mana-mana anggota DUN yang tidak hadir sidang Dewan dua kali berturut-turut hilang keanggotaannya dan hendaklah mengosongkan kerusi yang disandang.

Bagaimanapun, Abu Hassan telah menjelaskan bahawa beliau mempunyai sijil cuti sakit pada hari yang beliau tidak dapat hadir.

Abdul Isa bagaimanapun sebelum ini bertegas dengan keputusannya dan menolak penjelasan Abu Hassan bahawa beliau sakit dan menolak permohonan maafnya.

Sementara itu, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, SPR dalam mesyuaratnya hari ini, sebulat suara memutuskan ADUN Kota Siputeh itu tidak menghadiri dua mesyuarat berturut-turut di dalam dua penggal yang berbeza, bukan dua mesyuarat di dalam satu penggal yang sama.

"Setelah meneliti dokumen dan mengkaji fakta yang dikemukakan kepada SPR serta kedudukan undang-undang yang berkaitan, pada menjalankan kuasa di bawah Fasal (5) Perkara 53 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah, surat cuti sakit yang dikemukakan oleh ADUN Kota Siputeh, diterima oleh SPR bahawa kegagalan beliau menghantar surat cuti sakit kepada Speaker lebih awal tidak menjadikan surat cuti sakit itu terbatal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Aziz berkata sebelum Perkara 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah Darul Aman digunakan, ia terlebih dahulu perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan.

Mengenai surat pemakluman daripada Speaker DUN Kedah, Abdul Aziz menjelaskan bahawa Abu Hassan telah diberi peluang untuk menjelaskan sebab sebenar ketidakhadiran beliau dalam sidang itu.

"SPR telah meneliti surat daripada beliau yang memohon maaf kerana tidak dapat hadir dalam Sidang Dewan pada 9 Ogos 2009. Bersama surat itu dilampirkan surat cuti sakit daripada doktor yang mendapati beliau tidak sihat untuk menjalankan tugas selama dua hari iaitu dari 9 hingga 10 Ogos.

"Turut diteliti ialah kenyataan beliau bahawa beliau telah menghantar sms (khidmat pesanan ringkas) kepada Ketua Pembangkang untuk memaklumkan mengenai ketidakhadiran itu kerana sakit dada," katanya.

KLIK


SVR

Sunday, August 30, 2009

Pilihan raya kecil DUN Kota Seputeh? SPR putuskan Selasa ini

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas Selasa ini bagi memutuskan status kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Seputeh, Kedah iaitu sama ada perlu diadakan pilihan raya kecil ataupun sebaliknya.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, pihaknya akan meneliti semua aspek dengan tumpuan kepada soal perundangan sama ada kerusi itu perlu dianggap kosong, sekali gus mengadakan pilihan raya kecil.

SPR mempunyai kuasa muktamad untuk mengisytiharkan kekosongan mana-mana kerusi dan diadakan pilihan raya kecil.

"Kita akan bincang semua aspek secara menyeluruh, mempertimbangkan dari segi perundangan dan dari segi moral tetapi lebih kepada soal undang-undang," katanya lagi.

Jika diputuskan wujud kekosongan sudah pasti pilihan raya kecil akan diadakan, kata beliau.

SPR telah mengadakan pilihan raya kecil yang kelapan pada 25 Ogos lalu - sejak selepas pilihan raya umum Mac 2008.

Sehubungan itu, kata Aziz, pihaknya akan memaklumkan keputusan SPR kepada Speaker Kedah.

"Oleh kerana Speaker telah menulis surat kepada kami, kami akan memaklumkan Speaker hasil keputusan mesyuarat khas ini... mesyuarat ini hanya membincangkan isu kerusi Kota Seputeh," kata beliau kepada mStar Online ketika dihubungi.

Pilihan raya kecil itu menjadi sebutan banyak pihak ekoran kemungkinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Seputeh, Datuk Abu Hassan Sarif - dari Umno-BN - digugurkan daripada jawatannya kerana gagal hadir dua kali sidang DUNtanpa kebenaran Speaker.

Oleh itu, SPR telah meminta pandangan penasihat undang-undangnya dan juga Jabatan Peguam Negara mengenai isu berkenaan.

Pada 18 Ogos lalu, Speaker DUN, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail berkata, beliau sudah menghantar surat kepada SPR memaklumkan mengenai kegagalan Abu Hassan hadir sidang DUN pada 19 April dan 16 Ogos lalu.

Mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah, mana-mana ahli dewan yang tidak hadir pada sidang DUN selama dua kali berturut-turut tanpa kebenaran Speaker, tempatnya hendaklah dikosongkan.

Kerusi itu dimenangi Abu Hasan dengan majorti 495 undi. Lawannnya, Ismail Wan The dari PAS menerima 7,665 undi.

Minggu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melahirkan harapan agar SPR akan mempertimbangkan keadaan Abu Hassan yang kurang sihat dalam menentukan sama ada kerusi tersebut kosong atau sebaliknya.

Muhyiddin berkata, SPR yang mempunyai kuasa untuk menentukan kekosongan sesebuah bahagian pilihan raya, sebagaimana disaksikan di Perak Februari lalu, akan ambil kira pertimbangan itu.

"Bagaimanapun kita akan akur dengan keputusan SPR, kita selalu akur dengan keputusan SPR, mana ada yang kita tidak akur," kata beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN.

Dalam pada itu, Wan Ahmad ketika dihubungi pagi tadi memberitahu mStar Online bahawa semua dokumen berkaitan dengan isu berkenaan sudah sedia ada.

"Semua dokumen, pandangan dan maklum balas sudah diterima. Kita hanya perlu mengadakan mesyuarat dan menentukan status kerusi ini," katanya.




KLIK


SVR

Wednesday, August 19, 2009

KOTA SIPUTEH SEPINTAS LALU.........


KOTA SI PUTEH


Dibina dalam tahun 1282 Masehi oleh Tunku Ahmad Ibrahim Ibni Muzzil Shah (Raja Muda Kedah ) kota ini dibina untuk dijadikan benteng pertahanan bahagian utara negeri Kedah dari ancaman orang-orang Acheh dan Siam . Kota Si Putih telah dijadikan pusat pemerintahan Sultan Ibrahim Shah diikuti 8 o
rang sultan negeri Kedah dalam tahun 1626 Masehi, Sultan Rijaluddin Muhammad Shah ( Sultan Kedah ke- 13 ) telah memindahkan pusat pemerintahannya dari Kota Si Putih ke Kota Naga . Kota Si Puteh suatu ketika dahulu merupakan pusat pemerintahan sultan negeri Kedah yang ke - 3 . Dalam tradisi lisan, kisah 'Puteri Lindungan Bulan' sering dikaitkan dengan serangan Acheh ke atas Kedah kerana kemarahan Raja Acheh yang gagal memiliki puteri Kedah yang berdarah putih . Tindakan Sultan Kedah yang enggan menyerahkan puteri yang berdarah putih, sebaliknya, menyerahkan puterinya yang berdarah merah telah menyebabkan Acheh menyerang Kedah . Walaupun Kedah tewas, tetapi Acheh gagal mencapai hasratnya kerana puteri tersebut telah bersembunyi di dalam sebuah lubang yang agak terpencil sehingga cahaya bulan pun tidak dapat sampai . Lantaran itu, puteri tersebut di gelar ' Puteri Lindungan Bulan' . Terdapat sepasang nisan Acheh di makam tersebut yang terletak di atas bukit kecil di kampung Si Puteh yang dikenali 'Makam Puteri Lindungan Bulan'

Di sini jugak terdapatnya watt siam terbesar di malaysia yang bernama watt bonyaram berhampiran kota siputeh...



Persoalannya adakah pemimpin2 pas dapat menawan hati para pengundi masyarakat siam agar dapat merampas dun kota siputeh yang mana pas telah berputih mata pada pilihanraya umum ke-12 yang lepas mungkin faktor calon ataupun mungkin faktor geografi yang mana seperti kita sedia maklum dun kota siputeh telah menjangkaui pekan sanglang malahan sehingga kuala sanglang yang sedia maklum bahawa dahulunya di bawah dun ayer hitam, akan tetapi atas persempadanan semula menjadikan dun kota siputeh seakan-akan cucur kodok rupa petanya... mana mungkin kuala sanglang yang berada di mukim sanglang tiba2 berada di bawah dun anak bukit... tunggu pendedahan saya yang selanjutnya mengenai dun kota siputeh sehingga berjumpa lagi.. wassalam

http://mzaidi.com

Kerusi DUN Kota Siputeh kosong?

Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Kedah telah menghantar kepada ibupejabatnya di Putrajaya, surat Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Dr Abdul Isa Ismail berhubung kedudukan anggota DUN Kota Siputeh Datuk Abu Hassan Sarif yang didakwa hilang keanggotaannya.

azlanPengarah SPR Kedah, Zainal Abidin Zakaria berkata surat Dr Abdul Isa itu memaklumkan mengenai kedudukan Abu Hassan yang hilang keanggotaan setelah beliau dua kali gagal menghadiri sidang DUN pada 19 April dan 9 Ogos lepas.

"Perkara ini akan dikendalikan di peringkat ibu pejabat. SPR mempunyai bahagian undang-undang yang akan meneliti perkara ini," katanya kepada Bernama hari ini.

Abu Hassan, ketua Umno bahagian Jerlun menyandang kerusi DUN Kota Siputeh selama empat penggal berturut-turut.

Seksyen 51 Perlembagaan Negeri memperuntukkan mana-mana anggota DUN yang tidak hadir sidang Dewan dua kali berturut-turut hilang keanggotaannya dan hendaklah mengosongkan kerusi yang disandang.

Dr Abdul Isa dijangka mengadakan sidang akhbar mengenai kerusi DUN Siputeh itu di pejabatnya di Wisma Darul Aman di sini, pukul 10 pagi esok.

Sebelum ini, negara sudah menyaksikan tujuh pilihanraya kecil selepas pilihanraya umum tahun lalu.

Manakala pilihanraya kecil kelapan di DUN Permatang Pasir, Pulau Pinang akan berlangsung minggu depan.