Saturday, December 20, 2008

Program Mahligai Sejahtera

17 Pasangan Pengantin Bersanding Di Kediaman Rasmi Menteri Besar


ALOR STAR, 20 Dis -- Sebanyak 17 pasangan pengantin disandingkan serentak di kediaman rasmi Menteri Besar Kedah, di Seri Mentaloon di sini sempena program 'Mahligai Sejahtera' anjuran Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri.

Pengerusi jawatankuasa itu, Siti Aisyah Ghazali berkata program bersanding secara besar-besaran itu dianjurkan kerajaan negeri untuk membantu golongan kurang berkemampuan mengadakan majlis kenduri perkahwinan.

Beliau berkata bagi menyertai program itu, individu yang layak ialah golongan berpendapatan RM1,000 ke bawah, pengantin lelaki adalah anak jati Kedah dan merupakan perkahwinan pertama.

"Ikatan perkahwinan dapat mengurangkan masalah sosial di kalangan remaja dan majlis seperti ini dapat mengeratkan hubungan antara masyarakat dengan pemimpin," katanya ketika ditemui pada majlis itu di sini hari ini.

Siti Aisyah berkata,sebahagian pasangan yang disandingkan pada hari ini menerima tajaan pakaian pengantin bagi meringankan beban dalam menyediakan kos untuk perkahwinan mereka.

Lebih 500 jemputan yang terdiri daripada keluarga terdekat pasangan pengantin hadir meraikan majlis bersejarah yang julung kali diadakan dan akan dijadikan acara tahunan pada masa depan.

Monday, December 1, 2008

Penganjur konsert INUL tak pernah peka berita PAS




Penganjur: Protes gejala 'mak nyah' dulu, baru konsert Inul
Oleh ZIEMAN dan SITI AZIRA ABD AZIZ


PETALING JAYA: "Bukan saja terkilan tetapi saya rasa teraniaya...," luah penganjur konsert Inul Daratista, IMS Sdn Bhd, Nasir Abu Bakar apabila diberitahu pembatalan konsert Inul di saat-saat akhir.


Pihak penganjur diberikan tiga sebab kenapa konsert Inul, yang dijadualkan berlangsung malam ini di Stadium Putra, Bukit Jalil terpaksa dibatalkan.


Konsert Inul dibatalkan buat kali ketiganya.

Selain dari tidak mendapat permit dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), konsert itu mendapat bantahan dari Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan dan pihak polis enggan memberi kelulusan atas sebab keselamatan.


Difahamkan, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan telah menyerahkan memorandum mengandungi bantahan tersebut kepada Ketua Pengarah Jakim, Dato' Wan Mohamad Dato' Sheikh Abdul Aziz baru-baru ini.


Ketika mengesahkan berita pembatalan konsert Inul semalam, Nasir, yang juga Pengarah Urusan IMS Sdn Bhd, berkata beliau cukup kecewa dengan pembatalan konsert itu buat ketiga kalinya.


Kali terakhir ialah pada bulan Julai dan Ogos tahun ini di mana penyanyi dangdut yang terkenal dengan 'goyang gerudinya' itu sepatutnya beraksi di Stadium Putra, Bukit Jalil dan di Stadium Johor Bahru.


"Memang saya kecewa tetapi saya tidak marah. Saya tidak menanggung apa-apa kerugian kerana belum mengeluarkan apa-apa belanja lagi kerana menunggu kelulusan permit dari Dewan Bandaraya," jelas Nasir yang pernah mengalami kerugian hampir RM500,000 ketika dua konsert terdahulu Inul dibatalkan.


Tapi kata Nasir, "Nak protes pun biar bertempatlah. Saya tidak pernah paksa orang datang. Kalau fikir konsert itu tidak baik, tidak payahlah datang."


Inul Daratista masih 'teringin' membuat konsert di Malaysia.

"Saya rasa teraniaya. Saya buat konsert nak cari makan. Benda ini kecil saja, hanya konsert tiga jam. Sepatutnya ada isu lain yang lebih besar, yang perlu mereka protes dulu seperti gejala mak nyah di Lorong Haji Taib, Chow Kit Road, dan pengkid. Isu-isu yang macam ni lah patut mereka protes dulu?


"Saya hendak tanya, adakah mereka ini pergi Lorong Haji Taib untuk membendung perkara mungkar seperti ini? Tak ada pun...?


"Saya tidak paksa mereka datang pun. Saya sasarkan konsert ini untuk orang Indonesia kerana ramai dikalangan mereka yang datang konsert Inul dulu," jelas Nasir lagi.


Lagipun, menurut Nasir, pihaknya mendapat jawapan yang permit mereka tidak diluluskan oleh DBKL pada 24 November.


Inul Daratista - penyanyi seberang yang cukup terkenal dengan 'goyang gerudinya'.

"Ikutkan saya boleh buat rayuan dengan Ketua Polis Kuala Lumpur tapi saya tidak cukup masa untuk berbuat demikian kerana tarikh konsert semakin hampir," jelasnya lagi.


Ironinya, kata Nasir, "Ini bukan kali pertama saya menganjurkan konsert Inul di sini. Saya pernah membawa Inul ke sini untuk konsert di Stadium Merdeka pada tahun 2005. Masa tu boleh pula?


"Lagipun, saya tidak nampak konsert Inul boleh mencetuskan huru-hara sehingga menjadikan faktor keselamatan sebagai alasan membatalkan konsert."


Ketika ditanya bagaimana reaksi Inul apabila diberitahu tentang pembatalan konsert di Malaysia buat kali ketiganya?


"Ini baru cadangan saja dan kami pun memaklumkan demikian pada Inul. Bila dibatalkan sekali lagi, kami memberitahu Inul dan dia akur dengan keputusan itu," jelas Nasir.


'Kedegilan' pihak IMS untuk meneruskan usaha mengadakan konsert Inul di sini seolah-olah menggalakkan satu aktiviti yang mengundang keruntuhan moral?


"Seperti yang saya katakan tadi, saya tidak pernah memaksa orang datang...."


Demi peminat setia Inul yang 'kempunan' melihat aksi penyanyi dangdut kesayangan mereka, Nasir berjanji akan berusaha membawa juga Inul mengadakan konsert di Malaysia.


"Saya tidak putus asa. Saya akan buat rayuan lagi..."


TETAPI INILAH BERITA YANG PENGANJUR TAK AMBIL TAHU


ZIARAH RAKYAT BERSAMA PAS

PAS Wilayah Persekutuan akan menganjurkan program Ziarah Rakyat di sekitar Jalan Haji Taib dan Jalan Chow kit bersama Dewan Pemuda PAS Pusat. Program ini akan diadakan pada:

Tarikh : 19 Mei 2007 (Sabtu)

Masa : 4.30petang

(Solat Asar Berjamaah di Pejabat Agung PAS Jalan Raja Laut)

Program ini akan dipimpin oleh YB. Salahuddin Ayub (Ketua Pemuda PAS Pusat) bersama Hj. Mohamad Nor Mohamad (Pesuruhjaya Wilayah Persekutuan) dan Sdr. Kamaruzaman Mohamad (Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan).


Matlamat utama program ini adalah untuk beramah mesra bersama rakyat dan para peniaga disekitar Jalan Haji Taib dan Chow kit yang. Disamping itu, edaran risalah makluman tentang perpindahan Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut juga akan diadakan sekali.

Para pemimpin, ahli dan penyokong PAS dijemput bagi menyertai program ini.


Para wartawan juga dijemput bagi membuat liputan. Satu sidang akhbar berhubung isu-isu terkini seperti Isu Kenaikan Harga Barang dan Bantahan bagi Cadangan Harga Tol SMART akan diadakan.

Sekian. Terima Kasih.